Ipoh, 31 Mei 2022 - Seekor anjing baka German Shepherd dari Unit Anjing Pengesan (K9), Polis Diraja Malaysia menerima pingat 'Jasamu Dikenang' susulan kejayaannya mengesan mayat seorang warga emas yang dilaporkan hilang pada 11 Mei lalu.
Anjing bernama Chulio dari K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak itu menerima pingat berkenaan daripada Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di sini, pagi ini.
Pada majlis itu, ACP Mohamad Roy menyampaikan pingat berkenaan kepada pengendali anjing berkenaan, Koperal Tony Matius Farang, yang kemudiannya dikalungkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintendan Tan Boon Hooi ke leher Chulio. Koperal Tony Matius turut menerima sijil penghargaan daripada ACP Mohamad Roy.
Sementara itu, Koperal Tony Matius berkata, anjing diperoleh dari United Kingdom yang berusia lima tahun itu, sudah berkhidmat selama lima tahun.
"Chulio sudah mengikuti lebih daripada 50 operasi dan ini adalah kejayaan kedua terbesar selepas turut berjaya mengesan mangsa yang tertimbus bawah tanah di Cameron Highlands pada April lalu.
"Chulio yang diberi latihan setiap hari sememangnya mempunyai kelebihan dan kepakaran khusus untuk mengesan mayat," katanya ketika ditemui di program berkenaan.