Bukit Mertajam, 27 Jun 2022 - Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket yang menjalankan aktiviti tipu belian barangan dalam talian berikutan penahanan 23 individu warga Taiwan dalam serbuan di sebuah banglo mewah di Batu Feringghi, dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan jam 6.30 petang itu, polis yang menghadapi kesukaran untuk masuk ke dalam banglo itu terpaksa memecahkan pintu kediaman berkenaan dengan mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum menjumpai semua suspek yang juga pekerja sindiket terbabit.
Ketua Polis negeri, CP Dato’ Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata semua suspek yang terdiri daripada 17 lelaki dan enam wanita itu berusia antara 19 hingga 48 tahun.
Katanya, mereka tiba di negara ini selepas tertarik dengan tawaran kerja yang diiklankan sebuah akhbar Taiwan apabila menawarkan gaji lumayan sehingga RM7,000 sebulan.
Bagaimanapun katanya, hasil siasatan mendapati mereka hanya memperoleh gaji kira-kira RM5,000 sebulan tetapi ia masih dianggap lumayan.
"Kegiatan ini baru beroperasi bulan lalu yang mana sindiket ini akan mengiklankan pelbagai barangan berjenama terdiri daripada beg tangan, minyak wangi dan barangan mewah lain yang dijual secara dalam talian kepada warga Taiwan.
"Mangsa yang terpedaya dengan iklan itu akan diarahkan membuat pembayaran melalui platform daripada pautan yang diberikan oleh sindiket," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.