Kuala Lumpur, 31 Ogos 2022 - Acara Hari Kebangsaan ke-65 pagi tadi berlangsung penuh gilang-gemilang, dengan Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) disertai oleh seramai 1,799 pegawai dan anggota lain-lain pangkat, selain 105 buah aset Pasukan turut dipamerkan dalam perarakan perdana di Dataran Merdeka, di sini.
Bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama', Hari Kebangsaan tadi diserikan dengan
keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, sebagai tetamu utama negara.
Turut menyaksikan acara ialah Perdana Menteri, Dato' Sri
Ismail Sabri Yaakob bersama isteri, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin, barisan menteri kabinet, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama isteri yang juga Pengerusi
PERKEP Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa, Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Zainah Othman serta Pengarah-pengarah PDRM dengan isteri.
Antara detik indah yang dapat disaksikan secara langsung, mahupun di kaca televisyen tadi, apabila Tan Sri Acryl Sani bangun berdiri sebelah Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri
Hamzah Zainudin membalas tabik hormat daripada Kontinjen PDRM yang berarak lalu di hadapan pentas utama di Bangunan Sultan Abdul Samad.
Turut membanggakan Pasukan, apabila "detachment" perbarisan Polis Berkuda dari
Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) dalam acara tahun ini diketuai sendiri oleh Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain bersama kuda kesayangannya, 'Lord Reza'.
Selain PSP, yang menyertai perbarisan ialah 100 pegawai pembawa Jalur Gemilang dan Sang Saka Biru, Polis Pelancong, Persatuan Bekas Polis, Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Gerakan Am serta Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
PDRM juga menurunkan 102 buah aset darat berupa motosikal peronda Kawasaki GTR 1400P, Yamaha FJF 1300P, kereta peronda Proton Preve dan X70, kenderaan operasi Toyota Hilux 2.4, Jet Ski
Pasukan Polis Marin, kenderaan Unit Pemusnah Bom jenis Mercedes Sprinter 515 CDI KA, kenderaan “Mobile Digital Forensics Laboratory Vehicle” jenis Ford Transit 350L Panel Van 2.2L Diesel, Command Vehicle PSP jenis Scania K410 IBX serta banyak lagi.
Tiga buah helikopter jenis Agusta AW139 milik Pasukan Gerakan Udara pula, tidak ketinggalan membuat penerbangan lintas hormat di ruang udara bersama aset udara Pasukan sahabat yang lain.
Manakala ikonik
PANCARAGAM PDRM turut melengkapkan acara perbarisan dengan persembahan lagu terbaik yang mereka bawa iaitu ‘Malaysia Jaya’ hasil gubahan bekas Ketua Pengarah Muzik PDRM, Allahyarham pesara Superintendan Alias Arshad.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Izqhar Zainal Ibidin, Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.