Berita

[ARTIKEL PILIHAN] JENAYAH SIBER: 12,092 KES BABITKAN NILAI KERUGIAN RM414.8 JUTA DARI JANUARI HINGGA JULAI 2022 - KPN

Kuala Lumpur, 26 September 2022 - Sebanyak 12,092 kes jenayah kewangan penipuan dalam talian dengan nilai kerugian RM414.8 juta dilaporkan sejak Januari hingga Julai tahun ini, kata Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hari ini.

Beliau yang menyertai pameran secara maya, Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia berkata, dalam tempoh 2019 hingga Julai 2022, sebanyak 33,147 suspek kes penipuan jenayah siber telah ditangkap dengan 22,196 kes berjaya dituduh di mahkamah.

“Kelicikan penjenayah siber mengeksploit perubahan teknologi dan kreatif dalam menjerat mangsa dengan pelbagai modus operandi yang baharu selain kesedaran masyarakat mengenai jenayah itu yang berada pada tahap sederhana, dikenal pasti antara punca peningkatan kes jenayah tersebut,” katanya.

Tan Sri Acryl Sani mendedahkan jenayah melibatkan penipuan dalam talian yang dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil - JSJK PDRM menggariskan tujuh bentuk jenayah utama iaitu belian secara dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, "Macau Scam", "African Scam", "Business Email Compromised" dan penipuan SMS.

“Lantaran itu, Polis Diraja Malaysia melihat wujudnya keperluan untuk menyebar luas seberapa banyak ilmu kepada masyarakat agar mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada aktiviti jenayah tersebut,” katanya.

Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php...

Sumber: BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS