Shah Alam, 28 September 2022 – Kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI) diperkukuhkan lagi melalui Mesyuarat 13th Joint Police Cooperation Committee Malaysia-Indonesia (JPCC MALINDO) 2022 yang berlangsung di Hotel Concorde, di sini.
Mesyuarat yang bermula pada 26 September lalu, merupakan salah satu platform utama bagi kedua-dua agensi penguatkuasa negara masing-masing berbincang dan mencapai kata putus dalam merancang serta menyelaras program-program yang akan dilaksanakan pada masa hadapan, terutamanya melibatkan elemen operasi serta latihan.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM (KDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman merangkap Ketua JPCC PDRM, DCP Dato' Muhammad Abdul Halim berkata, pertemuan itu menjadi medan untuk kedua-dua agensi bertukar-tukar pendapat serta mencari idea-idea baharu bagi memperkuatkan barisan pertahanan negara masing-masing dalam usaha mengekalkan rantau ini sebagai zon selamat dan aman.
Dalam mesyuarat itu juga, laporan kemajuan Tim Perancang Operasi Kepolisan (TPOK) dan Tim Perancang Latihan Kepolisan (TPLK) serta perancangan aktiviti JPCC Tahun 2023 dibentangkan kepada ahli mesyuarat yang hadir.
Turut diadakan sesi menandatangani Minit Mesyuarat 13th JPCC MALINDO dan ucapan penutup oleh Ketua JPCC PDRM bersama Ketua JPCC POLRI, Inspektur Jenderal Polisi, Drs. Indra Miza, M.Si.
Turut hadir, Ketua TPOK POLRI, Brigadir Jeneral Polisi, Drs. H. Dedy Setiabudi, Komander Unit Tindakhas selaku Ketua TPOK PDRM, SAC Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, Ketua TPLK POLRI, Brigadir Jeneral Polisi, Alberd Teddy Benhard Sianipar, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan/Kompetensi) Jabatan Pengurusan Bukit Aman selaku Ketua TPLK PDRM, SAC Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar serta delegasi Malaysia dan Indonesia.
Jurugambar: Lans Koperal Aizat Afiq Kamarudin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.