Berita

POSTING PILIHAN: RAMBO DAN DAN MAI PAKAR KES PENCARIAN MAYAT, SENJATA API

 
Kota Bharu, 31 Oktober 2022 - Dua anjing pengesan dari Cawangan K9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menerima penghargaan atas kejayaan dalam beberapa siri penugasan.

Dua anjing jantan dari baka Labrador yang diberi nama Rambo dan Dan Mai itu adalah antara 42 penerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Kelantan, CP Dato’ Muhamad Zaki Hj. Harun sempena Perhimpunan Bulanan Peringkat IPK di sini, hari ini.
Menceritakan kejayaan Rambo yang berusia empat tahun itu, anggota polis yang menguruskan anjing terbabit, Konstabel Vigneshvaran Sinnasamy berkata, haiwan itu berjaya menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak lelaki autisme pada 9 Oktober lalu.
"Kanak-kanak itu hilang pada petang dan bantuan anjing pengesan diperlukan sebelum Rambo segera dibawa ke lokasi pada malamnya.

"Walau dalam keadaan hujan, Rambo berjaya mengesan lokasi mangsa iaitu di dalam semak dan kanak-kanak itu ditemui dengan selamat pagi keesokan harinya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Konstabel Vigneshvaran berkata, anjing yang diasuhnya sejak berusia setahun itu juga pakar dalam mengesan kes pencarian mayat serta dadah.
Kehebatan turut ditunjukkan Dan Mai yang berusia sembilan tahun dengan kejayaan demi kejayaan dalam menyelesaikan kes berkaitan jenayah terutama membabitkan kepakarannya dalam mengesan bom atau senjata api.

Di bawah jagaan Koperal Gangkeswaran Yahabram, anjing yang ditempatkan di Balai Polis Kubang Kerian itu turut terbabit dalam kes tembakan di Kampung Repek, Pasir Mas, baru-baru ini.

Koperal Gangkeswaran berkata, anjing itu juga berjaya mengesan kelongsong peluru dalam satu kes tembakan di Rantau Panjang pada Ogos lalu.
"Sudah banyak kejayaan yang dicatatkan dua anjing pengesan ini dan kami berbangga kerana dapat berkhidmat bersama Rambo serta Dan Mai," katanya.
Sementara itu, Dato’ Muhammad Zaki berkata, walaupun penugasan anjing pengesan K9 tidak terlalu ditonjolkan tapi peranannya sangat besar dalam menyelesaikan sesuatu kes yang memerlukan kepakaran mereka.

Katanya lagi, tugas Rambo serta Dan Mai boleh dianggap sebagai 'wira tidak didendang' dan sewajarnya menerima pengiktirafan.
"Buat masa ini hanya ada dua saja anjing pengesan K9 di negeri ini dan tugas mereka sudah memadai untuk menyelesaikan sebarang kes sama ada membabitkan jenayah, dadah atau menjejaki orang hilang," katanya.

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS