Serdang, 26 November 2022 - Pasukan Ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menamatkan penantian hampir 30 tahun untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong 2022, apabila membenam pasukan ragbi Johor Darul Takzim di padang Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia dekat sini, petang tadi.
Pada perlawanan suku akhir itu, pasukan ragbi PDRM berjaya mengungguli kejohanan dengan keputusan akhir 37 berbalas 25.
Kesemua anak buah Ketua Jurulatih, Sarjan Shahril Azri Abdul Rauf bersama Penolong Jurulatih, Koperal Khairil Zairani Zainal itu telah mempamerkan permainan yang begitu cemerlang apabila melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap pasukan lawan sehingga tamat masa permainan.
Yang turut hadir menyaksikan aksi suku akhir 'wira-wira PDRM' tadi ialah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, pesara CP Dato' Sri Huzir Mohamed, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, pesara DCP Dato' Abdul Hamid Ali, bekas Komander Pasukan Gerakan Udara, pesara DCP Dato' Mohd Rafique Ramli Ariffin serta beberapa lagi bekas pemain ragbi Pasukan.
Bagi ACP Seksyen Pengurusan Kualiti, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman merangkap Pengelola Sukan Ragbi PDRM, ACP Zaldino Zaludin pula, hanya rasa syukur dan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan semua pihak yang telah berusaha gigih memastikan pasukannya dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
"Alhamdulillah, hari ini kesemua atlet dan jurulatih telah membuktikan yang PDRM mampu untuk mencapai apa yang dikehendaki", ujar beliau ketika ditemui selepas kejohanan.
Kini seluruh jentera pasukan di bawah Kapten, Inspektor Muhammad Hezry Muhammad Anis akan menumpu kepada kejohanan separuh akhir untuk bertemu pasukan ragbi Putrajaya pada 30 November depan.
Setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah atas kejayaan mara ke separuh akhir dan doa iringan kemenangan dari kami warga Pasukan buat para atlet sukan ragbi PDRM.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid




































































