Kuching, 28 Januari 2023 - Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan peruntukan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK) bagi menambah baik fasiliti balai-balai polis di negeri itu melalui dana Timbalan Perdana Menteri.
Tanpa menyatakan jumlah keseluruhan peruntukan itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Hj.
Fadillah Yusof berkata sebagai contoh, sembilan balai polis dan kuarters di
sekitar Kuching memerlukan peruntukan kira-kira berjumlah RM500,000.
“Kita berharap dengan peruntukan di bawah Timbalan Perdana Menteri ini kita dapat menambah baik keadaan di IPK dan balai polis di negeri ini secepat mungkin dan saya akan salurkan secara terus kepada pihak polis.
“Saya diberi amanat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri
Anwar Ibrahim untuk melihat kepada infrastruktur Sabah dan Sarawak jadi saya membuat lawatan ke IPK ini untuk mendapatkan taklimat apa yang perlu kita laksanakan untuk menambah baik kemudahan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Terdahulu, Dato' Sri Hj. Fadillah menerima taklimat oleh Pesuruhjaya
Polis Sarawak, CP Dato' Mohamad Azman Ahmad Sapri yang berlangsung kira-kira satu jam.