Kuching, 25 Februari 2023 - Demi mencapai cita-citanya menjadi anggota pasukan penguatkuasa undang-undang, Konstabel Mohamad Ezwan Misri, 25, sanggup meninggalkan kerjaya dengan gaji lumayan yang sesuai dengan kelulusannya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni Kulinari daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, beliau sempat bekerja selama setahun di sebuah restoran di ibu negara sebelum menerima tawaran untuk menyertai
Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel.
Mohamad Ezwan yang berasal dari Kuala Selangor itu berkata, sebaik menerima tawaran itu, beliau tidak berfikir panjang kerana itulah kerjaya yang menjadi cita-citanya sejak kecil.
"Saya sebenarnya sudah memohon untuk menjadi anggota polis sebaik sahaja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun belum rezeki.
"Kemudian saya melanjutkan pelajaran di UiTM dan tidak menyangka tawaran untuk menyertai PDRM hadir selepas saya tamat pengajian peringkat tinggi dan saya terus menerimanya," katanya ketika ditemui selepas Perbarisan Tamat Latihan PLAK Konstabel Bilangan 53 Siri 6/2022 di Pusat Latihan Polis (
Pulapol) Kuching, hari ini.