Kota Kinabalu, 30 Mac 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa menghadiri Majlis Iftar KPN bersama-sama 300 warga kerja Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Sabah, disini, malam tadi.
Hadir mengiringi Tan Sri Acryl Sani bersama isteri di Masjid Nur Islam, IPK Sabah tadi ialah
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato' Sri Abdul Jalil Hassan yang dalam rangka lawatan kerja ke kontinjen ini.
Ketibaan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Idris Abdullah dengan timbalannya, DCP Datuk Jauteh Dikun bersama isteri, Datin Nurhayati Farhana Abdullah.
Selain mengeratkan lagi hubungan ukhuwah antara warga kontinjen dengan kepimpinan tertinggi Pasukan, majlis tersebut turut bertujuan menyantuni anak-anak yatim dan balu-balu warga PDRM.
Seusai mendengar tazkirah dan berbuka puasa, Tan Sri Acryl Sani turut menunaikan solat fardhu Maghrib dan seterusnya solat farhu Isyak serta solat sunat Tarawih bersama warga Polis Sabah.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, DCP Dato' Rusdi Isa, Timbalan Pengarah
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, DCP Dato' Muhammad Abdul Halim, barisan Ketua Jabatan IPK Sabah, ketua formasi serta Ketua Polis Daerah Kontinjen Sabah bersama isteri.