Kuala Lumpur, 29 Mac 2023 - Penipuan ‘Love Scam’ merupakan antara kes jenayah tertinggi direkodkan dalam tempoh 2018 hingga bulan Februari lepas, dengan nilai kerugian dianggarkan lebih RM365 juta.
Pemangku Timbalan Pengarah (Siasatan)
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, SAC Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata kajian yang dilakukan JSJK mendapati daripada 7,286 kes yang direkodkan, 82.5 peratus mangsa adalah wanita.
Beliau berkata sebagai usaha untuk membanteras penularan kes-kes penipuan sebegini, JSJK telah melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah komersil melalui Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya bagi memastikan mesej kesedaran jenayah komersil dapat disampaikan kepada setiap lapisan masyarakat, JSJK telah mempelbagaikan aktiviti pencegahan yang dilaksanakan, antaranya program sembang santai, ceramah dan pameran di sekolah, rumah ibadat dan universiti.
“JSJK hari ini mencipta satu lagi kelainan dalam perlaksanaan Kempen Anti-Scam iaitu melalui kerjasama dengan Syarikat Dream Film Sdn Bhd bagi menghasilkan sebuah filem Anti-Scam bertajuk Oppa,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran filem kesedaran Anti-Scam di
Maktab PDRM Cheras, di sini, hari ini.