Kuala Lumpur, 30 Mei 2023 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Razarudin Husain hari ini merasmikan Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-216, di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pagi tadi.
Kehadiran beliau telah disambut oleh Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi),
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad yang
mewakili Pengarah JSJN selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dengan diiringi Timbalan Pengarah 1,
Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Tun Maizura Mohd Fathullah.
Tan Sri Razarudin dalam ucapan perasmian berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited untuk melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dengan menganjurkan program derma darah sebagai salah satu program tahunan.
“Program ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada warga PDRM tahun lalu dan mensasarkan lebih ramai penyertaan lagi pada tahun ini memandangkan semakin ramai warga Pasukan yang prihatin akan kepentingan serta manfaat daripada menderma darah,” katanya.
Tambah beliau, menderma darah banyak memberi manfaat kepada kesihatan tubuh antaranya dapat mengurangkan risiko serangan pelbagai penyakit seperti “cardiovascular disease” dan penyakit jantung selain dapat mengurangkan kalori dalam badan.
Dalam majlis tadi, Timbalan KPN turut berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan kepada tiga penderma darah aktif wanita PDRM iaitu Sarjan Radziah Long dari Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, Sarjan Rosmila P. Ramli dari JSJN, Bukit Aman serta Lans Koperal Nurul Ainun Shafiee dari JSJN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Perak sebagai menghargai kaum wanita bersempena sambutan Hari Wanita dan Hari Ibu yang disambut baru-baru ini.
Turut hadir, barisan Pengarah PDRM, para pegawai PDN dan warga kerja Bukit Aman.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.