Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

HARI KEBANGSAAN 2023: KONTINJEN PDRM PAMER PERSEMBAHAN PENUH SEMANGAT DI HADAPAN AGONG

 
Putrajaya, 31 Ogos 2023 - Semangat cintakan negara jelas kelihatan pada setiap peserta perarakan dan perbarisan kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di Dataran Putrajaya, pagi tadi.
Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan di hadapan tetamu utama negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj merupakan satu kebanggaan buat Pasukan.

Lebih bermakna lagi apabila perbarisan kontinjen PDRM sekali lagi diketuai sendiri oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain yang menunggang kudanya 'Lord Reza' bersama 'detachment' Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang terdiri daripada 30 ekor kuda jenis Arabian, Warmblood, Polo dan banyak lagi.

Pegawai Kanan Polis turut dilihat segak menunggang kuda bersama pucuk pimpinan Pasukan melintasi pentas utama tadi ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain, DCP Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, DCP Dato' Hj. Mohd Yusoff Mamat, Komander Unit Tindakhas, SAC Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander PSP, SAC Mohd Said Ibrahim.

Tumpuan pengunjung beralih ke ruang udara apabila diumumkan aksi terjunan tepat oleh enam penerjun dari 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas, PDRM yang akan membuat pendaratan di hadapan pentas utama dengan membawa Jalur Gemilang, Malaysia Madani, Sang Saka Biru, Bendera 69 Komando dan Bendera Pasukan Gerakan Udara.

Perbarisan turut dimeriahkan dengan persembahan aset-aset daripada 10 jabatan PDRM antaranya Unit Kereta Peronda, Unit Rondaan Bermotosikal, Unit Kereta Perisai, PSP, Unit Anjing Pengesan serta Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik.

Dalam perarakan dan perbarisan yang diadakan, kontinjen PDRM turut diiringi Unit Pancaragam Pusat PDRM dan Unit Pancaragam Kontinjen Kedah sekali gus membangkitkan semangat peserta terlibat.

Seusai perarakan berlangsung, ruang udara Dataran Putrajaya digegarkan pula dengan persembahan pesawat dan jet pejuang daripada Tentera Udara Diraja Malaysia. Tidak ketinggalan beraksi helikopter jenis Agusta AW139 dan Agusta A109E milik PDRM.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan bercemar duli menyantuni para peserta perbarisan dan pengunjung yang hadir.

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Lans Koperal Bryanlie Mustin, Lans Koperal Muhamad Izqhar Zainal Ibidin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.

Mungkin imej 4 orang, kuda dan teks

Mungkin imej 12 orang

Mungkin imej 1 orang, terjun udara dan teks

Mungkin imej dais dan teks

Mungkin imej 1 orang dan orang ramai

Mungkin imej 8 orang dan jalan

Mungkin imej 7 orang, dais dan teks



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS