Kuala Lumpur, 30 September 2023 - Setelah lapan hari memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pelumba terjamin, perjuangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya dari
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bersama para pelumba basikal dari 22 buah pasukan seluruh dunia berakhir secara rasmi di garisan penamat
Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dekat Menara Berkembar Petronas
Kuala Lumpur (KLCC), di sini petang tadi.
Ketibaan para peserta di garisan penamat telah disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh bersama timbalannya, Tuan Adam Adli Abdul Halim.
Terdahulu, pelepasan para peserta pagi tadi di Setia City Convention Centre, Setia Alam telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari dengan jarak kayuhan sejauh 156.5 Kilometer (km) ke KLCC.
Turut hadir, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Abdul Wahab, Timbalan Ketua
Polis Selangor, DCP Dato' Sasikala Devi Subramaniam, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Superintendan Khairul Azahar Ismail dan KPP (Kawalan Lalulintas) JSPT Bukit Aman, Superintendan Mohd Yatim Osman selaku Head Of Department (HOD) Traffic Management Control.
Sementara itu, satu majlis makan malam yang bertemakan 'Jasamu Dikenang, Budimu Terbilang' turut diadakan tadi dekat Kafe Hotel Vivatel, di sini sebagai menghargai para petugas LTdL 2023 yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah JSPT, DCP Dato' Mohd Nasri Omar.
PDRM menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutamanya pengguna jalan raya yang telah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis.
Tanpa kerjasama erat daripada masyarakat, kejohanan berprestij peringkat antarabangsa tersebut tidak mungkin dapat dilangsungkan dengan jayanya. Terima kasih semua, semoga kita berjumpa lagi dalam LTdL edisi berikutnya.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.