Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

KPN BERSAMA TIMBALAN KPN HADIR ISTIADAT MELAFAZ SUMPAH DAN MENANDATANGANI SURAT SUMPAH JAWATAN KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17

 
Kuala Lumpur, 31 Januari 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-264 (Khas) yang diadakan di Balairung Seri, Istana Negara, pagi tadi.

Yang turut hadir, Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Ketua Polis (KP) Kuala Lumpur , CP Dato’ Allaudeen Abdul Majid dan KP Johor, CP M. Kumar S. Muthuvelu.

Upacara penuh adat istiadat tadi menyaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim secara rasmi sebagai KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun.

Istiadat juga menyaksikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Di hadapan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja Melayu, kerabat diraja, dif-dif kenamaan serta barisan menteri kabinet, Baginda Tuanku menandatangani Surat-Surat Perisytiharan Memegang Jawatan yang isi kandungannya dibacakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor kira-kira jam 9.45 pagi sebelum Baginda Tuanku berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.

Sultan Ibrahim menggantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Sebagai seorang pemerintah negeri yang terkenal dengan jolokan 'Raja Berjiwa Rakyat', Malaysia kini sekali lagi dapat berbangga dikurniakan seorang lagi Ketua Negara yang unggul dan berjiwa besar di persada dunia.

Seluruh pacal Polis Diraja Malaysia merafak sembah menjunjung kasih atas pelantikan Baginda Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Semoga keharmonian pelbagai kaum, kestabilan ekonomi, kesejahteraan rakyat jelata dan keamanan negara semakin utuh di bawah payung pemerintahan Baginda Tuanku.

Dirgahayu Tuanku! Daulat Tuanku!

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin

May be an image of 9 people and text




May be an image of 11 people

May be an image of 9 people and text

May be an image of 4 people and dais

May be an image of 10 people

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS