Padang Besar, 30 Mac 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain mengadakan lawatan kerja ke Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Op Taring Wawasan Kedah dan Perlis, petang tadi.
Tentatif program dimulakan dengan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar bagi meninjau Bilik Kawalan Border Surveillance System (BSS) serta melihat sendiri fungsi sistem pengoperasian CCTV BSS dalam menjaga keselamatan sempadan negara.
Mereka turut tidak ketinggalan melawat Pos BKC 7 PGA bagi meninjau kesiapsiagaan anggota dalam kawalan keselamatan di sempadan negara, di samping menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada 24 petugas PGA.
Seusai itu, Tan Sri Razarudin berkesempatan menyantuni petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) Chuping dan menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah kepada para petugas SJR yang terdiri daripada sembilan petugas PGA serta dua petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Lawatan diteruskan ke Pos Batu Putih PGA, Kuala Perlis dan Tan Sri Razarudin telah diberikan taklimat ringkas pengoperasian yang disampaikan oleh Timbalan Komander
Briged Utara PGA, ACP Mohd Noh Khamis.
Menerusi lawatan tersebut, Tan Sri Razarudin juga berkesempatan menyampaikan Bakul Rahmah kepada para petugas Pos Hadapan Batu Putih yang terdiri daripada warga PGA dan RELA.
Hadir sama, Ketua Polis (KP)
Kedah, CP Dato' Fisol Salleh, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (PGA), DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, KP
Perlis, DCP Dato' Muhammad Abdul Halim, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad dan barisan komander briged.