Shah Alam, 29 April 2024 - Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah menerusi serbuan di kawasan Puchong Jaya, Serdang, kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato' Khaw Kok Chin berkata, turut dirampas adalah kira-kira 35 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM4.73 juta selain sepucuk pistol bersama 32 butir peluru.
"Dalam serbuan pada jam 3.15 pagi itu, pasangan kekasih berusia 32 dan 35 tahun itu ditangkap di lobi sebuah kondominium yang didiami pasangan itu sebelum dibawa ke unit kediaman mereka.
"Susulan tangkapan itu, suspek kemudian memandu arah polis ke sebuah kereta yang diparkir ditepi jalan yang mana polis menemui dadah jenis MDMA seberat 26,500 gram (g); Ketamin (5,462.34g); Heroin (1,377.50g); Syabu (1,043.80g); Pil Esktasi (548.72g) dan Eramin 5 (2g).
"Kesemua dadah yang dirampas itu dianggar bernilai RM4.73 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Sumber: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Berita Harian