Putrajaya, 30 Julai 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir memeriahkan Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia dan Majlis Apresiasi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) 2024 di Hotel Marriot, di sini, petang tadi.
Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia atau “World Day Against Trafficking in Persons” yang diraikan pada 30 Julai setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah pemerdagangan orang.
Manakala Majlis Apresiasi MAPO Tahun 2024 diraikan sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang terlibat secara langsung dalam membantu negara sehingga berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024.
Seramai 36 wakil yang terdiri daripada kementerian, jabatan atau agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, organisasi lain serta para akademik telah menerima sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Kemuncak majlis tadi turut menyaksikan pelancaran MAPO Integrated Data System (MIDS) yang dibangunkan secara “in-house” oleh Bahagian Teknologi Maklumat, KDN dan berfungsi untuk menyelaras, mengumpul serta memusatkan data berkaitan jenayah pemerdagangan orang termasuk penyeludupan migran yang berlaku di negara ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi, Duta-duta dan perwakilan asing, barisan ketua agensi kerajaan, Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, DCP Fadil Hj. Marsus, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3), JSJ Bukit Aman, SAC Soffian Santong dan rakan media.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini