Serdang, 30 Julai 2024 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay hadir ke Majlis Hi-Tea Penyerahan Sumbangan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) kepada peserta detasemen pesara polis sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2024 bertempat di MTree Hotel, Puchong, Selangor, petang tadi.
Sumbangan kebajikan berupa “mock
cheque” telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri (Timbalan MDN) merangkap Pengerusi TAWP, Datuk Seri Dr.
Shamsul Anuar Nasarah kepada 85 peserta detasemen pesara polis yang terdiri daripada 72 orang pesara lelaki dan 13 orang pesara wanita. Kesemua peserta telah menjalani latihan sempena sambutan peringatan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan, Putrajaya sejak 26 Julai lalu bersama beberapa detasemen yang lain.
Dato' Seri Ayob Khan yang mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam ucapannya berkata program yang julung kali diadakan sejak TAWP ditubuhkan pada tahun 1992 adalah sebagai tanda keprihatinan pihak Kerajaan serta Pasukan dalam aspek kebajikan para pesara polis selain dapat meringankan beban yang perlu ditanggung.
"Dengan penuh rendah diri, besarlah harapan kami sekiranya pihak Kerajaan dapat menunjukkan keprihatinan menerusi peruntukan geran tahunan, agar lebih banyak aktiviti kebajikan dapat dilakukan untuk memberi manfaat kepada pesara polis, bekas polis dan waris yang memerlukan bantuan,” tambahnya lagi.
Dalam majlis yang diadakan, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar berkesempatan beramah mesra dan menyantuni para pesara polis yang tidak melepaskan peluang hadir untuk mengenali lebih dekat kepimpinan tertinggi
Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu.
Hadir sama, Pengarah
Pengurusan, CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim, Ketua
Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan, barisan Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) Bukit Aman, SAC Alina Sa’ad, Ketua
Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan dan para pegawai KDN serta PDRM.