Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

ISTIADAT PERBARISAN HARI PAHLAWAN TAHUN 2024: PANTOMIN “OPERASI SUBUH” GABUNGAN PDRM-ATM IMBAU PENGORBANAN WIRA-WIRA BUKIT JENALIK

Putrajaya, 31 Julai 2024 – Pantomim khas bertajuk “Operasi Subuh” yang dipersembahkan dalam Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Tahun 2024 pagi tadi berjaya menjentik perasaan para hadirin di Dataran Pahlawan Negara, di sini.

Gabungan bakat seramai lebih 150 keanggotaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bagi mengimbau kembali pengorbanan wira-wira kedua-dua pasukan keselamatan dalam peristiwa berdarah di Bukit Jenalik, Sauk Kuala Kangsar, Perak, lebih 24 tahun lalu.

Rancangan rapi sebuah kumpulan ektremis, Al-Maunah yang cuba menggulingkan kerajaan ketika itu, walau bagaimanapun berjaya ditumpaskan pihak berkuasa selepas beberapa hari mereka bersembunyi di bukit tersebut (dari 2 hingga 6 Julai 2000).

Namun malangnya, dua wira negara, mendiang Sarjan Sagadevan Rajoo dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar dan seorang anggota komando Grup Gerak Khas ATM, mendiang Truper Matthew Medan telah gugur ketika ditawan pihak musuh.

Mendiang Sarjan Sagadevan ditangkap bersama rakan setugas, Sarjan Detektif Mohd Shah Ahmad ketika mereka menyelinap masuk ke kawasan musuh bagi tujuan siasatan. Turut menjadi tebusan, seorang penduduk tempatan.

Kesemua anggota keselamatan yang ditahan telah diseksa secara mental dan fizikal, namun tidak sedikitpun mereka gentar malah nekad tidak memberi sebarang kerjasama atau membocorkan maklumat keselamatan kepada pihak musuh.

Atas alasan itu, mendiang Truper Matthew dan mendiang Sarjan Sagadevan akhirnya ditembak mati. Jelas dibuktikan semangat cintakan tanah air dijulang tinggi bersama jasad yang tidak lagi bernyawa.

Nasib menyebelahi Sarjan Detektif Mohd Shah apabila beliau berjaya diselamatkan selepas pihak berkuasa menggempur lokasi kumpulan tersebut. Manakala Staf Sarjan Ukoon Pungkok dari Rejimen Renjer Diraja Tentera Darat Malaysia cedera di lengan kiri akibat terkena tembakan musuh.

Persembahan yang diselami pelbagai aksi dan emosi itu telah berjaya memukau semua penonton dan masing-masing turut merasai kesedihan yang dipotraitkan para pelakon. Pada masa sama, terbit perasaan penuh bangga terhadap pasukan keselamatan apabila mereka menggunakan kemahiran dan kelicikan untuk memaksa pihak musuh menyerah diri.

Pelengkap persembahan diakhiri dengan deklamasi sajak bertajuk “Jenalik Berdarah” yang disampaikan oleh Inspektor Muhammad Faizul Mustafa dari PDRM dan Sarjan Siti Nur Aini Jasni mewakili ATM.

Pantomim “Operasi Subuh” itu turut disaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Lebih bermakna, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku berdua bercemar duli berangkat turun dari pentas diraja untuk disembah kenal oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman bagi menyantuni penerima-penerima Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) iaitu pesara tentera, Leftenan Jeneral Dato' Seri Panglima Zaini Mohd Said bersama pesara polis, DCP Dato’ Abdul Razak Hj. Mohd Yusoff yang terlibat langsung dalam insiden itu serta waris keluarga wira-wira terkorban yang dibawa khas dalam istiadat tahun ini.

Terdahulu, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku berdua berkenan berangkat mencemar duli dan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Tahun 2024 dan disambut Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Istiadat Perbarisan anjuran ATM yang berkonsepkan statik itu terdiri daripada 700 pegawai dan anggota lain-lain pangkat merupakan gabungan ATM dan PDRM dengan diketuai Leftenan Kolonel Abang Raduan Abang Madihi TUDM. Perbarisan turut disertai Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Turut bersiaran langsung, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin dan Panglima Briged Kedua Belas Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Muhammad Fauzi Abu Bakar yang mengulas sepanjang sambutan menerusi saluran rasmi, Radio Televisyen Malaysia TV1.

Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai saban tahun merupakan hari bersejarah sebagai memperingati perjuangan dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan demi kemakmuran serta kedaulatan negara dan dianjurkan secara bergilir antara ATM dan PDRM sejak tahun 1968.

Ia antara usaha dan keprihatinan Kerajaan yang telah menetapkan satu hari khas bagi mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Hadir dalam istiadat perbarisan tadi ialah Timbalan PM merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof bersama isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri, Datin Seri Hjh. Rosni Omar, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama isteri, Datin Seri Norhayati Musa, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato' Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri, selaku Pengerusi Peratuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman.

Yang turut hadir, Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isteri selaku Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Seri Zalena Mohd Ariffin dan barisan Pengarah PDRM bersama isteri.

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri

May be an image of 16 people and text

May be an image of 1 person and text

May be an image of 8 people and text

May be an image of 3 people and text

May be an image of text

May be an image of 4 people and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS