Putrajaya, 31 Julai 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini memenuhi jemputan ke The National Cyber Security Agency (NACSA) Cybersecurity Summit (NCSS) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.
Program anjuran NACSA dan
Majlis Keselamatan Negara dengan kerjasama Alpine Integrated Solution Sdn.Bhd. itu memberi tumpuan kepada penyelesaian
keselamatan siber yang boleh diambil tindakan bagi melindungi infrastruktur kritikal dalam membangunkan strategi keselamatan siber yang berkesan.
Dato' Sri Ayob Khan sempat melawati beberapa gerai pameran oleh syarikat dan organisasi yang mengambil bahagian dengan masing-masing menawarkan teknologi, perkhidmatan serta strategi terkini untuk melindungi daripada ancaman siber.
Beliau kemudiannya mendengar sesi penerangan bertajuk "Involvement of Local Companies in Producing Customised Cyber Security Solution and Products" yang disampaikan oleh pakar perunding, Encik Zaidel Baharuddin.
Sesi itu menekankan mengapa negara ini memerlukan penyelesaian tempatan, terutamanya berkaitan dengan keselamatan maklumat dan telekomunikasi, sebagai sebahagian daripada dasar pertahanan dan keselamatan ke arah “Kedaulatan dan Keselamatan Negara.”
Turut hadir, para tetamu jemputan yang terdiri daripada pegawai kerajaan, organisasi korporat, penguatkuasa undang-undang, ahli akademik dan pakar dalam bidang keselamatan siber.
NACSA NCSS 2024 telah berlangsung dari 30 Julai sehingga 1 Ogos 2024 dengan menampilkan keseluruhan 40 gerai pameran. Pameran tersebut menekankan peranan penting NACSA dalam memajukan inisiatif keselamatan siber negara ini.