Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

DATO’ SRI MOHD KAMARUDIN - TOKOH ‘ONLINE SCAMBUSTER’ YANG MENGEMUDI TIGA JABATAN PDRMDATO’ SRI MOHD KAMARUDIN - TOKOH ‘ONLINE SCAMBUSTER’ YANG MENGEMUDI TIGA JABATAN PDRM

 
Kuala Lumpur, 30 Ogos 2024 - CP Dato’ Sri Mohd Kamarudin Md Din dilahirkan pada 2 September 1964 di Rembau, Negeri Sembilan dan telah berkhidmat dengan Pasukan keramat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 36 tahun dua bulan sebelum bakal menamatkan perkhidmatannya pada 2 September depan.

Bapa kepada lima orang cahaya mata itu begitu mencintai ilmu berkaitan perkomputeran, maka tidak hairanlah graduan dari Universiti Teknologi Malaysia itu memperoleh Diploma sehinggalah ke peringkat ijazah sarjananya hanya khusus dalam bidang Sains Komputer.

Karier beliau dalam Pasukan bermula pada 5 Jun 1988 dan kebanyakan khidmat baktinya tertumpu dalam Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Antaranya, ASP Juruanalisa Sistem Bukit Aman (1992), DSP Jenayah Maklumat Bukit Aman (1997), Ketua Jenayah Komputer Bukit Aman (2002), Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (2006), Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Bukit Aman (2009), Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Bukit Aman (2013) dan kemuncak kariernya sebagai Pengarah JSJK pada bulan Jun 2021.

Berbekalkan azam yang tinggi untuk memerangi jenayah kolar putih atau jenayah dalam talian di Malaysia, nama dan ketokohan Dato’ Sri Mohd Kamarudin sebagai ‘online crimebuster’ PDRM sentiasa terpahat dalam sejarah. Banyak usaha-usaha pembanterasan dan buah fikiran beliau untuk memerangi jenayah dalam talian dilaksanakan bukan sahaja dalam Pasukan, malah diluaskan kepada seluruh negara.

Sebahagian daripada idea memerangi “online scam” dalam negara yang diusahakan beliau ialah membangunkan Commercial Crime Intelligence System atau dikenali sebagai CCIS, pewujudan Portal Semak Mule yang masih aktif sehingga ke hari ini, menubuhkan Police Cyber Investigation Response Center atau PCIRC, Kempen Pencegahan Jenayah Dalam Talian dan ‘Say No To Online Scam’.

Karier beliau dalam PDRM terus bersinar apabila berpindah ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk mengepalai sebuah jabatan yang bertindak aktif memerangi jenayah nombor satu negara iaitu dadah pada bulan April 2023, sebelum destinasi terakhir karier beliau dalam perkhidmatan dilantik mengemudi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam(KDNKA) pada 4 Mac lalu.

Hari ini di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, telah berlangsungnya Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di antara Dato’ Sri Mohd Kamarudin bersama isteri beliau, Datin Sri Johariah Urib Mohd Ariffin dengan pemangku jawatan tersebut.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim tadi mencatatkan sejarah apabila Dato’ Sri Mohd Kamarudin menyerahkan jawatannya kepada Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (Gerakan) Bukit Aman, DCP Dato’ Hj. Yusoff Mamat yang akan memangkunya dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain.

Manakala Datin Sri Johariah Urib pula menyerahkan jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan KDNKA kepada pemangku jawatan tersebut, Datin Hjh. Hasnizah Hasan sambil disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman.

Manakala di sebelah petangnya nanti, tertib majlis meraikan Dato’ Sri Mohd Kamarudin bersama isteri bakal disambung di Dataran Kawad PULAPOL Kuala Lumpur untuk majlis paluan berundur beliau.

Majlis yang pastinya bakal meninggalkan seribu satu kenangan terindah buat Dato’ Sri Mohd Kamarudin bersama isteri dan ahli keluarganya dijangka bermula seawal jam 4.30 petang dengan turut dihadiri oleh Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isteri yang juga Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Dato’ Zalena Mohd Ariffin.

Bagi pihak seluruh warga Pasukan, kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT BERSARA buat Dato’ Sri Mohd Kamarudin. Terima kasih atas segala khidmat bakti kepada Pasukan dan Negara. Semoga Dato’ Sri Mohd Kamarudin dan isteri sentiasa beroleh keredhaanNya.

Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri

May be an image of 3 people and text

May be an image of 3 people, dais and text

May be an image of 10 people, dais and text

May be an image of 3 people and text

May be an image of 8 people and text

May be an image of 3 people, headscarf and batik-print clothing

May be an image of 6 people and text

May be an image of 2 people, dais and text

May be an image of 4 people and text




PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS