Putrajaya, 31 Ogos 2024 - Wira insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa memimpin bacaan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 hari ini.
Suasana menjadi lebih bermakna apabila suara lantang Koperal Mohd Khairul melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Putrajaya,
seolah-olah mengimbau detik bersejarah laungan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Acara bacaan ikrar itu turut disertai 66 pelajar dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian pada 2.45 pagi 17 Mei lepas, dua anggota polis di balai berkenaan terkorban selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang.