Putrajaya, 30 September 2024 – Polis Diraja Malaysia menjadi penganjur bersama Perhimpunan Bulanan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan September yang berlangsung di Dewan Gemilang, Kompleks Setia Perkasa, di sini.
Perhimpunan yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail itu turut dihadiri Pengarah
Pengurusan, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim yang mewakili Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan berkenaan peranan semua jabatan dan agensi di bawah KDN dalam mendokong dan melaksanakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim agar meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan, integriti dan amalan terbaik pelaksanaan tadbir urus demi kemakmuran serta keamanan negara.
Turut berucap dalam majlis tadi ialah Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Awang Alik Jeman yang juga menekankan kualiti penyampaian perkhidmatan terutamanya di bahagian kaunter dan juga tadbir urus yang cekap serta pantas dalam memberi persepsi positif kepada masyarakat.
Majlis diakhiri dengan tayangan montaj Program Asia International Security Summit & Expo (AISSE) dan Penyerahan Surat Lantikan Penganjuran Bersama AISSE kepada Syarikat Korporat Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. oleh Dato' Sri Azmi kepada Pengerusi Syarikat Korporat Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd., Tan Sri Dato' Seri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dengan disaksikan Datuk Seri Saifuddin Nasution.