Putrajaya, 29 Oktober 2024 - Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) Bilangan 4 Tahun 2024 yang berlangsung pagi tadi antara lain membentangkan beberapa syor untuk merakyatkan lagi penyampaian perkhidmatan keselamatan di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) dan balai polis di bawahnya yang berlangsung dekat Bilik Persidangan, Bangunan Perdana Putra, di sini.
Mesyuarat itu
dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri
Shamsul Azri Abu Bakar dengan dihadiri oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain.
Penubuhan STAR diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri
Anwar Ibrahim pada Februari tahun lalu setelah dibentangkan dalam Belanjawan 2023.
Antara fungsi STAR adalah untuk menambah baik semua perkhidmatan dalam kerajaan bagi membendung budaya kerja lama dan peraturan tidak munasabah serta menghapuskan prosedur-prosedur kerja yang boleh melewatkan proses pekerjaan awam.
Pada 10 September lalu, Tan Sri Razarudin telah menghadiri Majlis Apresiasi Kepimpinan KSN di PUSPANITAPURI yang antara lainnya mendengar pengumuman berkenaan lima bidang keberhasilan reformasi bagi menjadikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam sebagai gagasan baharu pada tahun ini.
Ia termasuklah agenda KSN untuk merakyatkan lagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia dalam memberi anjakan nilai kepada tugasan setiap warga Pasukan.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.