Kuala Lumpur, 30 Oktober 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini hadir ke Sesi Deklarasi dan Penyerahan Memorandum Persatuan Pegawai-Pegawai Polis bagi Pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini.
Deklarasi Memorandum telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis, ACP
Suffian Sulaiman yang mewakili Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja (PPRPD) Malaysia.
Ianya sebagai usaha mendapatkan kelulusan pucuk pimpinan tertinggi PDRM terhadap suara persatuan dalam menyampaikan kegusaran denyut nadi warganya demi kepentingan kebajikan dan perihal perkhidmatan, agar manfaat yang diterima mampu memberikan motivasi ke arah memperkasakan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat serta negara.
Terdahulu, turut berlangsung penyerahan memorandum penelitian dan kewajaran mengenai pelaksanaan SSPA PDRM kepada Tan Sri Razarudin yang diserahkan oleh wakil dari PPKP dan PPRPD Malaysia dengan disaksikan oleh Timbalan Pengarah
Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Roze Shaari yang mewakili Pengarah Pengurusan di pejabat KPN.
Hadir sama dalam sesi tersebut ialah DCP Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, DCP Mohd Asri Md Akhir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, DCP Ab Rahaman Arsad, Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis, Sub Inspektor Abdul Rashid Ali, wakil PPKP, wakil PPRPD, wakil PRP dan Konst Orang Asli serta wakil Unit 69 Komando.