Kuala Lumpur, 31 Oktober 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghubungi Kedutaan Rusia di sini berkenaan dakwaan mengenai seorang warga tempatan yang terlibat sebagai askar upahan dalam konflik antara negara tersebut dan Ukraine.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata tindakan untuk berhubung dengan Kedutaan Rusia dijalankan oleh Cawangan Khas
Bukit Aman.
“Kita masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak kedutaan untuk pengesahan, termasuk status warga tempatan yang dikaitkan dengan kejadian itu (menjadi tentera upahan),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Razarudin berkata pihaknya juga telah berhubung dengan keluarga individu terlibat baru-baru ini dan berdasarkan maklumat yang diperolehi, individu itu hanya belajar di luar negara.