Sepang, 23 Januari 2025 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah dan akan memanfaatkan sepenuhnya penganjuran Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE'25) yang melabuhkan tirainya semalam setelah berjaya mengumpulkan lebih 300 ketua organisasi dan pemain industri keselamatan dari
seluruh dunia bermula 21 Januari lalu.
Di bawah tema "Asia United: Charting The Future of Global Peace and Security Through Law Enforcement Collaboration", PDRM komited untuk terus menjadikan AISSE sebagai program mega rujukan aspek keselamatan dalaman dunia khasnya di rantau Asia Tenggara dengan melibatkan penggunaan teknologi baharu serta pakar keselamatan tempatan serta antarabangsa berkongsi idea dalam proses tersebut.
Di kesempatan ini, bagi pihak Pucuk Pimpinan Pasukan, KDN dan seluruh rakyat Malaysia memberikan setinggi-tinggi penghargaan dengan ucapan terima kasih kepada semua ketua delegasi dari seluruh dunia yang sudi hadir memainkan peranan penting mereka bersama Malaysia amnya serta PDRM khasnya dalam persidangan bertaraf antarabangsa ini, sejak dua hari lalu.
Dengan berakhirnya AISSE'25 semalam, ketua-ketua delegasi antarabangsa mula pulang ke negara asal masing-masing dengan diapit oleh para Pegawai Kanan PDRM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.
Antara delegasi yang telah memulakan perjalanan pulang semalam ialah dari negara Myanmar, Thailand, Laos PDR, Kingdom of Cambodia, Vietnam, Singapura, Filipina, Hong Kong, India, Qatar, Brunei dan
INTERPOL.
Manakala pelepasan pulang para delegasi antarabangsa pada hari ini pula melibatkan empat negara, China, Jepun, Australia dan Timor Leste diikuti delegasi dari Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia yang dijadualkan berlepas pada esok sehingga Sabtu ini.
Kami mengucapkan selamat jalan dan terima kasih yang tidak terhingga sekali lagi kepada semua delegasi antarabangsa yang telah menjayakan penganjuran AISSE'25 dan sehingga kita berjumpa lagi dalam persidangan yang bakal berlangsung di masa hadapan.
Jurugambar: Koperal Mat Zul Hajat Mat Jaafar, Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery, Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini, Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri dan Konstabel Nur Sabrina Ghazali.