Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

KPN SUMBANG WANG RM10 RIBU KEPADA TABUNG TAWP

Kuala Lumpur, 24 Februari 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini menyumbangkan wang berjumlah RM10,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) yang diserahkan kepada Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid selaku Ahli Tetap TAWP di pejabatnya, di sini.

Sumbangan berbentuk "mock cheque" itu merupakan dana yang diperoleh daripada perintah mahkamah terhadap defendan, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang telah diperintahkan membayar kos guaman dan prosiding mahkamah kepada plaintif (KPN) setelah mahkamah mengeluarkan injunksi interlokutori dalam kes saman fitnah pada 10 Januari lalu.

Menyedari kepentingan kebajikan warga Polis Diraja Malaysia, Tan Sri Razarudin mengambil inisiatif dengan menyumbangkan jumlah tersebut sepenuhnya kepada TAWP bagi membantu kebajikan pegawai, anggota dan anak-anak polis.

Sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada mereka yang cemerlang dalam akademik, menghadapi masalah kesihatan dan bagi pihak yang memerlukan bantuan kewangan untuk meringankan beban yang ditanggung.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Datuk Mohamad Zainal Hj. Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan) Bukit Aman, SAC Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, Ketua Urus Setia KPN (Perundangan), SAC Abd Rahman Atan dan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) Bukit Aman, SAC Alina Sa’ad.

Jurugambar: Konstabel Nur Sabrina Ghazali

May be an image of 7 people and text   May be an image of 4 people and text   May be an image of 7 people and text   May be an image of 6 people and text   May be an image of 4 people, the Oval Office and text  
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS