Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

TIMBALAN KPN PENUHI UNDANGAN KONSERT DESAKU MENDUNIA ANJURAN FELDA

Kuala Lumpur, 29 Mei 2025 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memenuhi undangan ke Konsert Desaku Mendunia anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, di sini, malam tadi.

Perasmian konsert tersebut yang diadakan serentak dengan Majlis Pra Pelancaran Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Konsert yang dianjurkan dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kementerian Komunikasi bermula pada 27 Mei lalu adalah bagi meraikan pencapaian Malaysian Wind Orchestra, yang terdiri daripada pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA) FELDA, termasuk anak-anak peneroka FELDA.
Pasukan itu bakal mewakili Malaysia dalam 26th International Festival of Wind Orchestra yang bakal berlangsung dari 20 dan 21 Jun depan di Prague, Republik Czech.

Kehadiran Dato’ Sri Ayob Khan mencerminkan komitmen Polis Diraja Malaysia dalam menyokong pembangunan sahsiah, kebudayaan dan jati diri masyarakat luar bandar, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Konsert Desaku Mendunia menampilkan gabungan muzik moden dan orkestra serta persembahan seni yang membangkitkan semangat patriotik, selain mengiktiraf peranan komuniti FELDA dalam membina tamadun negara.

Sementara itu, MK3D yang bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia merupakan simbol kerjasama strategik antara agensi-agensi kerajaan yang bertujuan untuk memperkasa komuniti luar bandar secara menyeluruh.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Puan Teo Nie Ching, Pengerusi FELDA, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato' Dusuki dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Dato' Mokhzani Ismail.

Jurugambar: PDRM RMP TV

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS