Kuala Lumpur, 28 Ogos 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menegaskan tiga fokus utama yang digariskan menjadi pemacu kecemerlangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau menekankan kejayaan PDRM tidak hanya bergantung pada kekuatan aset dan sumber, sebaliknya bertunjangkan kebersamaan, kesepaduan serta iltizam seluruh warga Sang Saka Biru. Katanya, tumpuan akan diberikan kepada transformasi kepolisan berteraskan teknologi kecerdasan buatan, pemerkasaan dan pengukuhan integriti, selain memantapkan usaha ke arah kesejahteraan rakyat dan pasukan.
Perkara itu disampaikan dalam amanat sempena Perhimpunan Bulanan KPN bagi bulan Ogos anjuran Cawangan Khas di Dewan Theatrette, Menara 1, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Cawangan Khas selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Datuk Ibrahim Darus bersama barisan Pengarah PDRM.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu buli sehingga meragut nyawa. Beliau menegaskan usaha pencegahan kolektif dan proaktif perlu diperkukuh, khususnya dalam kalangan pelajar agar tidak terjerumus ke arah tindakan yang menyalahi undang-undang serta nilai kemanusiaan.
Beliau turut menekankan kepentingan perisikan dalam mengekalkan keamanan negara dan ketenteraman awam. Jelasnya lagi, kredibiliti Cawangan Khas bukan sahaja diiktiraf di peringkat nasional, malah turut dihormati di peringkat antarabangsa.
Antara kejayaan dikongsikan ialah operasi keselamatan menumpaskan kegiatan kumpulan Gerakan Militan Bangladesh di Johor dan Selangor. Selain itu, Cawangan Khas juga bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam membanteras sabotaj ekonomi, penyeludupan migran dan pemalsuan dokumen.
Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut menyampaikan Sijil Penghargaan KPN kepada 44 pegawai polis dan awam sebagai perhargaan atas prestasi kerja cemerlang yang dipamerkan. Pengiktirafan khas telah diberikan kepada dua wakil Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang terlibat dalam operasi menyelamat di perairan Sungai Pulai, Johor Bahru pada 10 Julai lalu.
Seusai itu, berlangsung penyerahan Jalur Gemilang kepada para peserta konvoi, melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Unit Rondaan Bermotosikal dan Unit Kereta Peronda, diikuti pelepasan konvoi sebagai simbolik pelancaran Kempen Semarak Jalur Gemilang Peringkat PDRM.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Lans Koperal Khairunisa Ibrahim