Putrajaya, 31 Ogos 2025 – Detaseman Sang Saka Biru yang menyertai perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025 tampil gah, berwibawa dan penuh disiplin di Dataran Putrajaya, di sini, pagi tadi.
Lebih menarik apabila Pengarah
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim yang menunggang seekor kuda baka Arab bernama Alsakhb bersama Unit Berkuda,
Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) telah mengetuai Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dianggotai seramai 1,100 pegawai dan anggota dari pelbagai pangkat, aset kenderaan serta haiwan melintasi pentas utama.
Perbarisan dan perarakan detasemen PDRM telah diiringi oleh Unit
Pancaragam Pusat PDRM dan Unit Pancaragam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah sekali gus menyemarakkan semangat patriotik serta menyerlahkan komitmen kontinjen dalam mempersembahkan mutu persembahan terbaik di hadapan tetamu utama negara iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofea.
Turut mencuri perhatian pengunjung apabila pergerakan masuk detasemen berpakaian kerja “working dress” merangkumi pakaian kerja Tugas Am, Unit Polis Pelancong, Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Barisan Pesara Polis yang telah menabur jasa dan bakti mempertahankan pertiwi tercinta turut mewarnai sambutan pada kali serta detasemen pakaian operasi antaranya
Pasukan Polis Marin (PPM),
Pasukan Gerakan Udara,
69 Komando Pasukan Gerakan Khas dan Unit Tindakhas serta Unit Anjing Pengesan dengan kekuatan 15 ekor anjing jenis German Shepherd dan Labrador.
PDRM buat pertama kali turut menampilkan aset baharu iaitu Armoured Personnel Carrier Guardian yang digunakan oleh Skuadron Perisai, PGA, KDNKA, di samping persembahan pelbagai aset kenderaan antaranya Unit Kereta Peronda, Unit Pemusnah Bom (Chemical Biological Radioactive Nuclear Explosive), PSP dan PPM serta detasemen JSPT yang diketuai oleh pengarahnya, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri.
Hadir sama menyaksikan sambutan yang gilang-gemilang pagi tadi adalah Perdana Menteri, Dato' Seri
Anwar Ibrahim bersama isteri Dato' Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail, barisan menteri kabinet, Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis
Malaysia, Datin Sri Datuk Hjh. Munirah Che Rose, Timbalan KPN, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay dan barisan Pengarah PDRM.
Sambutan pada hari yang bersejarah ini telah disiarkan secara langsung menerusi
Radio Televisyen Malaysia (program Selamat Pagi Malaysia) dengan menampilkan Timbalan Ketua Eksekutif (Keselamatan), Institut Keselamatan Negara Awam Malaysia, SAC Dr. Shazrin sebagai komentator PDRM bergandingan bersama Pengarah Perancangan Pembangunan dan Strategi, Markas Tentera Laut, Kepten Mohammad Fairuz.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.