Kuantan, 31 Oktober 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali melakar sejarah apabila muncul juara keseluruhan Interforce Games (IFG) 2025 edisi ke-60, sekali gus mencatat hatrik kejuaraan selepas mengekalkan gelaran tersebut selama tiga tahun berturut-turut sejak IFG 2023.
Edisi kali ini menyaksikan PDRM mengungguli kutipan pingat keseluruhan dengan pencapaian cemerlang dalam empat daripada lima acara sukan yang dipertandingkan iaitu bola sepak, badminton, futsal wanita dan golf.
Kejohanan IFG menutup tirainya dengan penganjuran majlis makan malam oleh PDRM sebagai tuan rumah di Hotel Zenith yang dihadiri oleh para atlet dan pihak pengurusan pasukan dari kedua-dua negara.
Mewakili Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail, Timbalan KPN, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay dalam ucapannya berharap kerjasama dan interaksi dua hala antara PDRM dan
Singapore Police Force (SPF) berterusan melalui lawatan, perbincangan serta aktiviti sosial khususnya dalam bidang sukan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua pasukan ini akan terus berkembang maju, sekali gus memperkukuh profesionalisme, semangat setiakawan serta persefahaman bersama demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Dalam majlis yang diadakan, turut berlangsung penyampaian piala pusingan kejohanan oleh Deputy Commissioner Police (Policy) SPF, DCP How Kwang Hwee kepada Tan Sri Ayob Khan selepas PDRM sekali kali dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Turut hadir, barisan Pengarah PDRM, barisan ketua polis negeri, barisan timbalan pengarah PDRM dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Kamaruzaman Abdullah.