Chiang Rai, 29 November 2025 – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato' Hussein Omar Khan menghadiri Mesyuarat Bilateral Malaysia-Thailand ke-42 mengenai Kerjasama Penguatkuasaan Undang-undang Narkotik yang berlangsung dari 25 hingga 28 November di Thailand.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada perkongsian situasi semasa berkaitan isu dadah, perbincangan kes-kes utama dan penyelarasan strategi bersama bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah narkotik rentas sempadan.
Dalam sesi rasmi mesyuarat, Dato' Hussein turut menerima penganugerahan Lencana Kehormat Eagle 19 daripada Office of the Narcotics Control Board, Thailand. Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan besar beliau dalam mengukuhkan kerjasama antarabangsa serta komitmen tinggi dalam memerangi ancaman narkotik di rantau ini.
Penganugerahan tersebut sekali gus mencerminkan keyakinan dan penghargaan negara jiran terhadap peranan JSJN Polis Diraja Malaysia sebagai rakan strategik yang berintegriti, profesional dan berkeupayaan memperkukuh keselamatan serantau.