Kuala Lumpur, 6 April 2026 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Sekretariat ASEANAPOL di Menara Kembar
Bank Rakyat, di sini.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL, Police Senior Colonel Dr. Kongkrissada Kittithiraphong bersama Pengarah Perkhidmatan Polis ASEANAPOL, Police Senior Superintenden Huntal Tambunan serta Pengarah Perancang dan Program, Police Colonel Jean Mary Alfaro Mangahis.
Lawatan kerja dimulakan dengan sesi menandatangani buku pelawat sebelum beliau bersama delegasi dibawa ke bilik mesyuarat Sekretariat ASEANAPOL untuk acara seterusnya.
Dalam lawatan tersebut, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut mendengar taklimat pembentangan mengenai perkembangan terkini serta hala tuju transformasi sekretariat ke arah menjadi hab kepolisan serantau yang lebih berorientasikan pelaksanaan operasi yang disampaikan oleh Police Senior Colonel Dr. Kongkrissada Kittithiraphong.
Beliau juga berkesempatan menyampaikan amanat kepada warga kerja ASEANAPOL dan menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Police Senior Colonel Dr. Kongkrissada Kittithiraphong atas pelantikan sebagai Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL yang ke-9.
Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menzahirkan harapan agar pertemuan hari ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan komitmen bersama dalam membina komuniti ASEAN yang lebih selamat, terjamin dan berdaya tahan, di samping menekankan kepentingan kerjasama berterusan dalam mendepani ancaman serantau yang kian berkembang pesat.
Hadir sama, Pengarah
Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid bersama Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Abdul Rahman Kassim, ACP Perhubungan Antarabangsa, Urus Setia KPN Bukit Aman, ACP Loh Pey Pey dan ACP Perundangan Urus Setia KPN (Pentadbiran) Bukit Aman, ACP Nor Azrina Mokhtar.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Azri Mohd Sabri dan Lans Koperal Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi
KPN ADAKAN LAWATAN KERJA RASMI KE PEJABAT SEKRETARIAT ASEANAPOL