Putrajaya, 27 April 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay telah menghadiri Forum Ilmuan Malaysia Madani Siri 11 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Seri Perdana, di sini, malam tadi.
Forum berprestij bertemakan “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis” itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sebelum diteruskan dengan sesi forum yang dikendalikan oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku moderator.
Forum tersebut menampilkan barisan panel antarabangsa dan tempatan iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Mr. Necmeddin Bilal Erdoğan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, Pengarah Islamic Institute for Development and Research, Mr. Sharif Hasan Al-Banna serta Profesor Madya National University of Singapore, Dr. Khairudin Aljunied.
Perbincangan tertumpu kepada kepentingan memperkukuh perpaduan umat Islam dalam mendepani cabaran geopolitik global yang semakin kompleks.
Forum Ilmuan Malaysia Madani merupakan inisiatif yang diilhamkan oleh Dato’ Seri Anwar sebagai platform wacana intelektual yang menghimpunkan tokoh akademik, pemimpin serta pemikir pelbagai bidang bagi membincangkan isu-isu semasa secara mendalam dan berstrategi.
Turut hadir, barisan jemaah menteri, ketua-ketua jabatan serta wakil agensi kerajaan.
Jurugambar: PDRM RMP TV


