Alor Setar, 29 April 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay kembali menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’
Syed Omar bersempena Program Sirih Pulang Ke Gagang
yang bertemakan “Inspirasi Alumni: Dari Sekolah ke Puncak Kepimpinan” sekali gus mengimbau kenangan yang membentuk jati diri serta kepimpinan beliau.
Kehadiran beliau menjadi wadah perkongsian pengalaman dan suntikan semangat kepada warga sekolah, khususnya para pelajar, untuk terus mencapai kecemerlangan.
Berucap di hadapan pentadbir, guru dan pelajar, beliau merakamkan penghargaan kepada warga pendidik atas peranan mereka dalam membentuk sahsiah dan kepimpinan beliau sehingga berjaya menggalas amanah tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia.
Beliau turut menekankan bahawa cabaran generasi masa kini semakin kompleks, melibatkan isu buli, buli siber serta pengaruh negatif dunia digital yang boleh menjejaskan masa depan pelajar.
Menurutnya, terdapat kes pelajar menjadi mangsa buli siber sehingga dihina dan diaibkan di media sosial, selain kandungan keganasan dalam permainan serta media yang boleh menormalisasikan keganasan jika tidak dikawal.
Beliau berharap agar pelajar tidak memandang rendah tempat bermula kerana walaupun hari ini hanya seorang pelajar biasa dengan usaha, disiplin dan integriti, seseorang mampu menjadi luar biasa, sekali gus membuktikan bahawa kejayaan tidak ditentukan oleh di mana seseorang bermula, tetapi sejauh mana usaha serta pegangan kepada nilai yang betul.
Dalam majlis yang diadakan, Tan Sri Ayob Khan telah berbesar hati menyampaikan hadiah kepada pelajar cemerlang dalam aktiviti kokurikulum, diikuti penyerahan poster infografik anti buli serta sesi beramah mesra bersama warga sekolah.
Sebelum majlis berakhir, Tan Sri Ayob Khan berkesempatan mengadakan lawatan sekitar kawasan sekolah sekali gus mengimbau kenangan indah ketika menimba ilmu di sekolah berkenaan.
Hadir sama, Ketua
Polis Kedah, CP Datuk Adzli Abu Shah, Ketua Penolong Pengarah Kanan Menengah dan Tingkatan Enam,
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Encik Zainudin Harisun, Ketua Cawangan Khas, Kontinjen Kedah, SAC Anbalagan Arumugan, Ketua Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti, Kontinjen Kedah, SAC Amran Yaakob, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar, Encik Ahmadi Abdullah, Pengetua SMK Dato’ Syed Omar, Puan Nor Anizah Jamal, barisan alumni serta ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Dato’ Syed Omar.
Jurugambar: PDRM RMP TV