Keningau, 24 Mei 2026 – Program Jelajah Wira MADANI yang berlangsung di Dewan Masyarakat Keningau malam tadi meriah dengan kehadiran masyarakat setempat dan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Program lebih bermakna dengan kehadiran Ketua Polis Negara (KPN), IG Datuk Seri Panglima Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia, Datin Seri Panglima Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose, sempena lawatan kerja rasmi ke Kontinjen Sabah.
Hadir sama ialah Pengarah
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, Pengarah
Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, CP Dato' Noor Hisam Nordin, Pesuruhjaya
Polis Sabah (PJP), CP Datuk Jauteh Dikun, JP bersama isteri selaku Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah serta Timbalan PJP Sabah, DCP Datuk Abdul Rani Alias bersama isteri, Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, Datin Rusnah Zakaria.
Berucap merasmikan majlis, Datuk Seri Panglima Hj. Mohd Khalid menjelaskan bahawa program di bawah
Kementerian Dalam Negeri itu merupakan pengiktirafan kerajaan kepada barisan hadapan keselamatan negara, khususnya PDRM dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan, agensi penguat kuasa dan komuniti serta menghargai pengorbanan wira Sang Saka Biru dalam memelihara kedaulatan dan keamanan negara.
Tambah beliau, PDRM diamanahkan melaksanakan 11 Program Jelajah Wira MADANI di seluruh negara bagi tahun ini dengan Kontinjen Sabah menjadi kontinjen keempat yang berjaya melaksanakannya sebagai medium memperkasakan kebajikan, kesejahteraan dan moral warga Pasukan.
Turut berlangsung, penyampaian sumbangan kebajikan oleh Datuk Seri Panglima Hj. Mohd Khalid bersama isteri kepada enam penerima yang terdiri daripada balu, anak yatim, golongan asnaf serta anak-anak istimewa warga Pasukan dari daerah Keningau, Tenom dan Sipitang sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan dalam membantu meringankan beban kehidupan mereka.
Pada sebelah pagi, Datuk Seri Panglima Hj. Mohd Khalid telah mengadakan tinjauan udara di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia bagi meninjau tahap keselamatan, kesiapsiagaan operasi serta kedudukan strategik kawasan pedalaman negeri ini.
Tinjauan tersebut dilaksanakan menggunakan dua helikopter AW139 milik Pasukan Gerakan Udara (
PGU) PDRM melibatkan beberapa daerah iaitu Papar, Beaufort, Sipitang, Long Pasia, Bantul, Saliliran, Saliku, Pagalungan dan Nabawan.
Tinjauan turut meliputi tiga perkampungan sempadan iaitu Kampung Kabungalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas yang terletak berhampiran Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, Indonesia bagi meninjau keadaan semasa kawasan sempadan negara selain aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Seusai itu, Datuk Seri Panglima Hj. Mohd Khalid bersama delegasi bergerak ke Pejabat Daerah Nabawan dan diberikan taklimat keselamatan oleh Ketua
Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Garai sebelum meneruskan lawatan ke tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nabawan bagi meninjau perkembangan projek pembangunan fasiliti PDRM.
Taklimat projek disampaikan oleh Pengurus Besar PBLT Sdn. Bhd., Ts. Noor Azman Embi yang menjelaskan status semasa pembangunan, kemajuan pembinaan serta perancangan pelaksanaan projek bagi memastikan ia disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Delegasi meneruskan lawatan ke tapak sementara
Batalion 21 Pasukan Gerakan Am (PGA) Keningau yang menempatkan anggota PGA bagi memperkukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan pedalaman Sabah.
Taklimat disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Batalion 21 PGA Keningau, Superintenden Hairulnizam Rashid yang menyentuh aspek pengoperasian, pentadbiran serta kesiapsiagaan penugasan dalam memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan tanggungjawab batalion.
Secara keseluruhan, lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen berterusan pucuk pimpinan PDRM dalam memastikan pembangunan infrastruktur, kesiapsiagaan operasi serta kebajikan warga Pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik demi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA PGA Bukit Aman, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohd Rodhi, Komander PGU Bukit Aman, DCP Dato' Noor Sham Md Jani, Ketua Jabatan KDNKA Kontinjen Sabah, SAC Datuk Abdul Fuad Abdul Malek, Komander Briged Sabah PGA, SAC Datuk Nor Omar Sappi, Ketua Lesen Pasukan Urus Setia KPN (Lesen Senjata Api), SAC Dato’ Kama Azural Mohamed serta Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah, SAC Datuk Ashmon Bajah.
Jurugambar: Lans Koperal Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi