Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

HARI POLIS KE-219: YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS SANTAPAN DIRAJA

Subang Jaya, 27 Jun 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja sempena Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, di sini, malam tadi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda sekitar jam 8.30 malam telah disambut oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd. Khalid Hj. Ismail.

Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Hj. Malek Razak Sulaiman serta barisan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam sembah ucapannya, Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd. Khalid menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda berangkat ke majlis tersebut yang disifatkan sebagai satu anugerah dan takrim amat bermakna kepada seluruh warga PDRM. Keberangkatan Baginda bukan sahaja menyerikan majlis, malah menyuntik semangat serta meningkatkan moral seluruh warga Pasukan dalam melaksanakan amanah memelihara keamanan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

Beliau turut menzahirkan bahawa PDRM yang kini menginjak usia 219 tahun akan terus teguh sebagai institusi utama dalam memelihara kedaulatan negara, keselamatan masyarakat dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut mengajak seluruh warga Pasukan mengenang jasa serta pengorbanan para perwira PDRM yang telah gugur di medan bakti demi mempertahankan ibu pertiwi.

Sempena ulang tahun penubuhan Pasukan, beliau turut mengajak seluruh warga PDRM untuk terus memperkukuh iltizam, mempererat kesatuan dan mengekalkan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.

Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat rasmi Pasukan turut diserikan dengan persembahan Orkestra PDRM serta tayangan montaj khas memaparkan peranan Kesultanan Johor moden dalam memperkasa serta mencorakkan landskap kepolisan moden seiring keperluan dan cabaran semasa.

Hampir 400 pegawai kanan polis dari seluruh kontinjen turut hadir bagi bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar

May be an image of text

May be an image of dais and wedding

May be an image of text that says '0 শ I LATI TAPAY KE-1'

May be an image of dais and text that says 'L219 M い吉 NUS SUNWAY SUNWAYRESORT RESORT @HA'

May be an image of text

May be an image of text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS