Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

POSTING PILIHAN: PENGERUSI PERKEP MALAYSIA SOKONG USAHA PERKASA LITERASI KEWANGAN PELATIH INSPEKTOR DAN KONSTABEL


Kuala Lumpur, 29 Jun 2026 – Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose telah menghadiri Karnival Perbankan dan Koperasi bagi Inspektor Pelatih Bilangan 14 Siri 1/2026 dan Konstabel Pelatih Bilangan 80 Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, semalam.

Kehadiran beliau sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan literasi kewangan dan kebajikan bakal warga Polis Diraja Malaysia menerusi karnival yang berlangsung pada 27 dan 28 Jun di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim serta Dewan Pengaman.

Program tersebut diisi dengan siri taklimat yang disampaikan oleh wakil Tabung Haji, QuePACS Care, Hijrah AIA, Bank Rakyat, Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad bagi memberi pendedahan kepada para pelatih mengenai pengurusan kewangan, perancangan kewangan, simpanan, perlindungan kewangan serta pelbagai kemudahan yang disediakan oleh institusi berkaitan.

Selain itu, reruai pameran yang disertai oleh Tabung Haji, Ocean Blue, PERKEP PULAPOL Kuala Lumpur serta institusi perbankan dan koperasi yang terlibat turut dibuka bagi membolehkan para pelatih mendapatkan khidmat nasihat serta maklumat mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam perkhidmatan.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM, DCP Datuk M.V. Srikumar Madhavan Nair serta Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Datuk Mohd Nor Yhazid Idris.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS