Kuala Lumpur, 17 Julai 2026 – Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, semalam.
Mesyuarat yang berlangsung secara bersemuka dan telesidang itu dipengerusikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose.
Berucap dalam mesyuarat itu, beliau menegaskan bahawa PERKEP Malaysia perlu terus bergerak secara profesional, progresif dan dinamik seiring perubahan semasa selain memperkukuh tadbir urus organisasi demi memastikan kebajikan warga PDRM sentiasa menjadi keutamaan.
Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan Akaun Pengurusan Kewangan sehingga 31 Disember 2025, diikuti Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Bendahari Agung PERKEP Malaysia sebagai sebahagian daripada kesinambungan pentadbiran organisasi.
Turut hadir, barisan Pengerusi PERKEP Jabatan, Kontinjen, Briged dan Formasi serta barisan Ahli Jawatankuasa Urus Setia PERKEP Pusat.