Keprihatinan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi terserlah apabila Ketua Polis Balai (KPB) Kuala Sedili, Sarjan Mejar Mohammad Aizat Ahmad bersama anggotanya tampil membantu seorang pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan ketika dalam perjalanan menghadiri satu program di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, baru-baru ini.
Tanpa berlengah, mereka berhenti untuk menghulurkan bantuan dan memastikan urusan pengguna jalan raya tersebut selesai sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi program.
Tindakan ini mencerminkan komitmen warga Sang Saka Biru yang sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan semangat “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.”
Syabas dan terima kasih kepada semua anggota yang terlibat atas keprihatinan serta khidmat bakti yang ditunjukkan. Semoga nilai murni ini terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga PDRM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Sumber: Balai Polis Kuala Sedili