Subang Jaya, 28 September 2026 – Majlis “Dining Out” Pengarah Pengurusan berlangsung penuh bermakna sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan, jasa dan sumbangan Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid sepanjang hampir dua tahun menerajui
Jabatan Pengurusan, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Berlangsung di Sunway Resort Hotel, Selangor, majlis yang bertemakan “A Leader Who Guides, A Mentor Who Inspires” malam tadi, mencerminkan peranan Dato’ Sri Abdul Aziz bukan sahaja sebagai pemimpin yang membimbing organisasi, malah sebagai mentor dan sumber inspirasi kepada warga Jabatan Pengurusan sepanjang menggalas amanah sebagai Pengarah Pengurusan sejak 17 Disember 2024.
Berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Sri Abdul Aziz merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Pengurusan atas kerjasama, sokongan dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui jabatan berkenaan.
Menurut beliau, setiap kejayaan yang dicapai bukanlah hasil usaha seorang individu, sebaliknya merupakan hasil kesungguhan, komitmen dan kerjasama seluruh warga jabatan.
Beliau turut berkongsi prinsip kepimpinan yang sentiasa menjadi pegangannya, iaitu seseorang Pegawai Kanan Polis yang baik perlu memastikan kehadirannya mampu memudahcarakan urus tadbir dan urus operasi di tempat beliau ditugaskan.
Beliau turut menyeru warga Jabatan Pengurusan agar terus memelihara semangat “esprit de corps”, integriti dan profesionalisme, selain sentiasa terbuka menerima pandangan yang membina serta menyesuaikan pendekatan dengan tuntutan semasa.
Beliau turut menekankan bahawa setiap keputusan yang dibuat perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, adil dan berhemah kerana ia memberi kesan langsung kepada kerjaya, kebajikan serta kesejahteraan warga PDRM dan keluarga.
Dato’ Sri Abdul Aziz turut menyifatkan majlis yang diadakan bukan sebagai sebuah perpisahan, sebaliknya merupakan kesinambungan perjuangan dalam Pasukan apabila beliau kini menggalas tanggungjawab yang lebih luas sebagai Timbalan KPN.
Beliau berharap Jabatan Pengurusan akan terus diperkukuh dan kekal menjadi antara tunjang penting dalam memperkasakan PDRM, khususnya dalam aspek pengurusan sumber manusia, kebajikan, pembangunan modal insan serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
Turut hadir, isteri Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Naib Pengerusi
PERKEP Malaysia, Datin Sri Selmiah Tuan Ibrahim, CP Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dan Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah, CP Dato’ Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff.